Persidangan Perwakilan Nasional KE-49

Parti Gerakan Rakyat Malaysia .

Perikatan Nasional adalah tawaran baharu kepada rakyat Malaysia. Kita ingin kekal sebagai sebuah gabungan politik yang berkongsi aspirasi negara untuk generasi yang akan datang. Kita mahu memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan kompeten. Kita ingin terus merasai denyut nadi rakyat dan memenuhi keperluan mereka dengan penuh prihatin.

YAB Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin Pengerusi Perikatan Nasional

Citra

Perikatan Nasional .

PERIKATAN NASIONAL adalah satu kesepakatan politik yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Islam Malaysia (PAS), Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan secara rasminya telah didaftarkan pada 27 Ogos 2020.

Sebagai satu kesatuan politik pelbagai kaum; Perikatan Nasional beriltizam untuk mendakap paradigma baru dalam perjuangan rakyat dan menyuntik dinamisme baru kepada politik yang berteraskan nilai. Atas kesedaran ini, kami Perikatan Nasional bercita-cita untuk memelihara dan mengekalkan Negara Malaysia yang berdaulat, bersatupadu, makmur dan sejahtera.

Kami akan mempertahankan ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah Negara majmuk yang berbilang kaum, agama, adat resam dan budaya. Masa sama komited untuk memaju dan membangunkan Negara demi kebajikan rakyat tanpa mengira kaum, agama, kelas sosial dan wilayah.

Kami akan memelihara keamanan Negara dan melindungi keselamatan rakyat dari segala bentuk ancaman. Komitmen kami juga adalah untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan termasuk Islam sebagai agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan selaras dengan peruntukan Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan hak untuk menggunakan selain bagi tujuan rasmi, mengajar atau belajar apa-apa Bahasa lain selaras dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain selaras dengan peruntukan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan, menjunjung kedudukan Raja Berpelembagaan selaras dengan peruntukan Fasal 38 Perlembagaan Persekutuan, melindungi hak kebebasan asasi di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan mempertahankan hak kewarganegaraan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.

Cita - cita kami juga adalah untuk memperkukuhkan amalan prinsip-prinsip Rukunegara sebagai nilai teras masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ke arah perpaduan dan integrasi nasional yang padu. Usaha ini akan menjadi kenyataan dengan memperkasa institusi-institusi penting Negara ke arah membina Negara yang berdaya maju dan berintegriti; serta mendokong prinsip tadbir urus yang baik (good governance), ketelusan dan memerangi rasuah. Perikatan Nasional juga menjunjung dan akan mengambil bahagian di dalam proses demokrasi berperlembagaan dan pilihanraya.